Suatu malam yang hening, kelihatan seorang lelaki berjalan-jalan di
sekitar Madinah dalam keadaan lapar. Dia berhenti di luar sebuah rumah kerana
terhidu bau makanan. Imannya belum cukup kuat untuk membuat pertimbangan yang
waras dalam menyuluh tindak tanduknya, kerana terliur dengan makanan itu, dia
menyusup masuk kedalam rumah tanpa izin tuan rumah tersebut.
Melihat makanan yang menyelerakan di satu sudut rumah, dia segera
mencapainya, tetapi tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Kata-kata yang di
dengarinya daripada rasulullah s.a.w dalam satu majlis ilmu di Masjid Nabi
siang tadi terlintas di benaknya. Rasulullah berpesan, "Barangsiapa
meninggalkan yang haram dia akan mendapat yang halal." Mengingatkan
kata-kata itu, dia tidak jadi untuk mengambil makanan tadi. Dia hendak segera
beredar, tetapi ada godaan lain pula.
Telah terlihat olehnya barang kemas. Kalau dia ambil, tentu tidak ada
siapa tahu. Segera barang kemas itu digenggamnya. namun sekali niat jahatnya di
matikan. Teringat lagi dia kepada pesan Rasulullah s.a.w " Tinggallah yang
haram, dapat yang halal". Diletak kembali barang yang berharga itu. Haram
mengambil barang milik orang lain.
Namun sebelum dia beredar.....datang lagi satu godaan yang lebih besar.
Dadanya berdebar kencang apabila melihat seorang wanita cantik sedang lena
tidur di kamar peraduannya. Pintu kamar itu dilangkah masuk. Wanita itu
dirapati. Tangannya menggeletar, peluh memercik membasahi tubuh. Nafsu
membisikkan kata-kata indah untuknya. Berlaku perebutan nafsu dan bisikan
kata-kata Rasulullah s.a.w, "Tinggallah yang haram, akan dapat yang halal.
Akhirnya dia beristighfarr dan perlahan-lahan beredar.
Berkat pesanan Rasulullah s.a.w yang
melekat disanubarinya, dia berjaya mematahkan keinginan nafsunya. Kelegaan yang
amat sangat terasa di hatinya apabila keluar dari rumah tadi dan kemudian
memijakkan kaki di Masjid Nabi. Kerana berjaya dalam peperangan sengit
mengalahkan nafsu yang mengajak kepada yang haram, dia diberi ketenangan yang
luar biasa oleh Allah SWT. Seketika kemudian, subuh tiba. Selepas solat subuh
berjemaah, lelaki itu merebahkan diri di masjid kerana terlalu mengantuk akibat
berjaga semalaman. Apabila matahati telah meninggi, seorang wanita datang
bertemu dengan Rasulullah s.a.w di masjid. Dia mengadu rumahnya dimasuki orang.
Dia takut diganggu lagi, lalu memohon mendapatkan seorang pengawal yang
dapat menjaga harta bendanya. Setelah di tanya, rupanya si wanita itu seorang
janda. Baginda memandang sekeliling kalau-kalau ada orang yang dapat menjaga
wanita itu.
Melihat lelaki yang sedang lena di suatu sudut masjid, baginda
menemuinya. Ditanyakan siapakah gerangan dan adakah dia telah beristeri.
"Saya seorang duda," jawab lelaki itu yang hidupnya kurang terurus
selepas kematian isterinya. Baginda bertanya apakah kedua-dua janda dan duda
itu bersetuju untuk dijodohkan.
Mereka berdua tersipu malu. Kerana terharu dengan pilihan Rasulullah
s.a.w dan teringat perbuatannya malam tadi, lelaki itu tidak dapat menahan diri
daripada menangis lalu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku di rumah wanita
tersebut. Lalu, dia bertaubat. Akhirnya Rasulullah s.a.w berkenan menikahkan
lelaki dan wanita itu dengan disaksikan oleh para sahabat. Demikianlah berkat
meninggalkan yang haram, dia mendapat yang halal sebagai gantinya. Kini, wanita
cantik itu dan segala di dalam rumah itu menjadi halal baginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan